Penceramah dan pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal dilaporkan direhatkan daripada bersiaran di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran RTM, Datuk Suhaimi Sulaiman susulan isu pertikaian yang tular di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW.
Untuk redakan keadaan
Langkah merehatkan Don Daniyal itu diambil selepas dia dikritik beberapa pihak kerana menyampaikan cerita tidak sahih berkaitan Rasulullah SAW.
Untuk meredakan keadaan, saya telah meminta team saya untuk rehatkan dulu Ustaz Don dari Salam Baitullah. “Jangan tanya apa yang saya fikir dan rasa. (Saya rasa) terkelu”, kata Suhaimi Sulaiman menerusi ciapan di X.
Untuk meredakan keadaan, I have asked the team to ‘rehatkan’ dulu Ust Don from Salam Baitullah. Don’t ask me about what I think or feel. Numbed.
— Suhaimi Sulaiman (@suhaimisulaiman) June 5, 2024
Sampaikan cerita tidak sahih
Terdahulu, Don Daniyal ketika bersiaran di sebuah stesen radio mendakwa Baginda pernah melamar seorang wanita, Ummu Hani sebanyak tiga kali dan merupakan cinta pertama Rasulullah.
Meskipun telan ditegur oleh beberapa tokoh agamawan namun Don Daniyal tetap bertegas dengan dakwaannya dan tidak membuat sebarang pembetulan.
Isu ini menjadi bualan hangat di media sosial di mana penceramah terbabit menerima kritikan hebat daripada sesetengah pihak kerana menyampaikan cerita yang tidak sahih.
Malah ada yang berpendapat inilah kesan apabila seseorang pendakwah menyampaikan dakwah di luar bidang atau kepakaran mereka.