Walaupun Gegar Vaganza 2 telah melabuhkan tirainya minggu lepas, gosip mengenai pengacaranya masih lagi tidak putus. Jika beliau sebelum ini hangat apabila ditegur oleh Datuk Jamal Abdillah untuk tidak membuat lawak mengenai raja pop itu, kali ini Nabil Ahmad dikritik pula oleh sesetengah fanatik penyanyi Farahdhiya apabila Nabil sering mengusik beliau di pentas Gegar Vaganza 2.
Jelas Nabil, beliau sebenarnya sudah lama mengenali Farahdhiya secara peribadi ketika sama-sama berkunjung ke sebuah pusat senaman.
Nabil tidak mempunyai niat lain tetapi hanya ingin menceriakan lagi suasana dengan menyakat dan melawak.
Saya dah agak memang ramai yang nak tahu mengapa saya suka sangat usik Farahdhiya.
Sebenarnya saya dan dia dah kenal dan berkawan lama. Kami pernah sama-sama menjadi pengunjung sebuah gimnasium. Bukan dengan Farah saja, kalau buat show saya memang suka menyakat orang sebab itu sebahagian kreativiti saya untuk lebih memeriahkan suasana sesebuah program.
Sekadar untuk buat orang ramai gelak dan semuanya untuk suka-suka sahaja, bukannya ada maksud atau niat lain.
Saya selalu cakap, dalam dunia hiburan ini kita janganlah nak ambil serius sangat semua benda. Asalkan kita tahu batasan tertentu.
Boleh dikatakan melawak dengan cara yang agak manja bersama Farahdhiya, ramai yang bertanya adakah isteri beliau, Zira tidak merasa cemburu? Menjawab persoalan tersebut, Nabil berkata isterinya sudah cukup mengenali sikap beliau dan memahami kerjayanya.
Isteri saya pun faham kerja saya suka mengusik orang di atas pentas. Dia tak cemburu pun saya suka mengusik Farahdhiya. Dia dah faham benar sikap saya suka bergurau.
Mungkin apa yang dikatakan oleh Nabil itu betul, kita kadang kala kenalah bersikap lebih terbuka dan tidak mengambil semua perkara terlalu serius. Buat apa hendak merasa tertekan sepanjang masa?