Pelakon dan penyanyi, Naim Daniel baru-baru ini ada memuat naik sebuah video klip telefilem dibintanginya bertajuk Aku OCD. Memang diakui ramai, Naim merupakan seorang pelakon berbakat namun dalam entri berkenaan dia dilihat telah menerima beberapa komen negatif daripada seorang individu.
Menerusi komen berkenaan, individu tersebut mendakwa Naim tidak melakukan kajian terperinci sebelum membawa watak seorang penghidap Obsessive Compulsive Disorder (OCD).
“Teruknya cara OCD diterjemahkan, saya yakin awak tak tahu OCD tu sebenarnya apa. Paling tidak pun awak patut buat kajian terlebih dahulu,”
Namun, Naim tidak berdiam diri dan tampil membalas komen berkenaan dengan mengatakan bahawa dia sudah pun bertemu dengan seorang penghidap OCD sebagai salah satu usaha untuk lebih mendalami watak berkenaan.
Dia juga bertemu pesakit berkenaan untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kondisi dan simptom yang selalunya dihadapi oleh golongan pesakit itu.
Tambah Naim lagi, dia sama sekali tidak menerima watak yang baginya agak berat dan sukar sebelum mendapatkan ilmu yang cukup mengenai penyakit tersebut.
“Maafkan saya. Benar sebelum memulakan penggambaran saya ada bertemu dengan salah seorang individu yang menghidap penyakit OCD ini untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai apa itu sebenarnya OCD. Ianya juga memberi saya satu input baru tentang perkara ini kerana saya tidak akan berkompromi untuk membawa tanggungjawab sebagai watak seorang OCD,”
Dia yang ditemui turut mengambil inspirasi dari sebuah filem Sepanyol bertajuk Toc-Toc (2017) dalam menjayakan watak tersebut.
Sebagai info, penyakit Obsessive Compulsive Disorder (OCD) ini merupakan gangguan mental yang menyebabkan pesakit berasa wajib untuk melakukan sesuatu tindakan yang sama berulang kali sehinggakan ada yang tercedera dan menyakitkan diri sendiri.
Sumber: mStar Online