Penyanyi Amira Othman menganggap kecaman terhadap penampilannya sebagai perkara biasa yang perlu ditempuhi dalam dunia seni, termasuk kritikan yang menyamakan fesyen digayakannya menyerupai terung.
Enggan mengambil pusing, Amira atau nama lengkapnya Nadia Amira Othman, 33, berkata setiap individu mempunyai cita rasa dan pandangan berbeza terhadap sesuatu gaya yang ditampilkan.
“Bagi saya, komen dan kritikan itu perkara biasa. Saya pergi majlis atau program usrah pun boleh jadi isu, apatah lagi kalau ada sedikit kekhilafan.”
“Fesyen ini subjektif, ada yang nampak cantik, ada yang sebaliknya. Sama seperti makanan, ada yang kata sedap, ada pula yang kata tidak.”
“Kita memang tidak boleh puaskan hati semua orang,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada pelancaran koleksi raya Amber 2026, baru-baru ini.
Mengulas sama ada kritikan tersebut memberi kesan kepadanya, pelantun lagu Rasa dan Takdir itu menegaskan dia lebih memilih untuk memberi tumpuan kepada peminat yang sentiasa menyokong perjalanan karier seninya.
“Bagi saya, ini adalah asam garam anak seni. Kalau terganggu, tak mungkin saya masih ada di sini.”
“Lagipun, kebanyakan komen negatif datang daripada akaun palsu, manakala yang menyokong pula adalah individu yang benar-benar wujud.”
Dalam masa sama, isteri kepada pelakon Fattah Amin itu turut menyatakan kesediaannya menerima teguran sekiranya disampaikan secara berhemah dan membina.
“Kalau komen itu diberi dengan cara baik, sudah tentu saya terima dengan hati terbuka. Komen yang tidak baik biasanya datang daripada golongan ‘haters’.”
“Walaupun kita cuba berbuat baik, tetap ada yang membenci. Buat baik orang mengata, apatah lagi kalau ada kekurangan.”
“Saya hargai majoriti yang menyokong. Yang minoriti ini, kita abaikan saja,” jelasnya.
Sebelum ini, penampilan Amira menjadi sasaran kecaman netizen ketika menjalani penggambaran promosi busana raya di Istanbul, Turki.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
