Pasti ramai yang tahu salah satu syarikat perabot IKEA di Malaysia menjual pelbagai kelengkapan rumah. Terbaharu, menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut menyatakan semua pelanggan yang memiliki pinggan, mangkuk dan cawan HEROISK atau TALRIKA digesa untuk berhenti menggunakannya.
Pihak syarikat ‘memanggil’ produk berkenaan kerana ianya boleh pecah dan berpotensi mengakibatkan luka akibat kandungannya yang panas. Pemilik produk tersebut boleh menghubungi peruncit syarikat berkenaan untuk proses pemulangan dan mendapatkan full refund.
“Produk kami telah diuji serta memenuhi standard dan perundangan yang diguna pakai. Walaupun kami menerima laporan bahawa produk ini pecah, namun tiada insiden sedemikian dilaporkan berlaku di Malaysia”
Menurut syarikat berkenaan, keselamatan menjadi keutamaan mereka dan sebagai langkah berhati-hati mereka ‘memanggil’ semula pinggan, mangkuk dan cawan HEROISK atau TALRIKA yang sudah dibeli.
Proses pemulangan produk tersebut boleh dilakukan di kaunter Penukaran dan Pemulangan di mana-mana gedung IKEA untuk dapatkan full refund. Berkenaan bukti pembelian atau resit, pemilik tidak perlu mengemukakannya.
Pihak IKEA memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul disebabkan ‘panggilan balik’ produk ini. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Hubungan Pelanggan IKEA di 03-7952 7575.