Pegawai perubatan dan personaliti media sosial, Dr Malar, tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pempengaruh Faiz Soul susulan isu tular yang mendakwa dirinya merendahkan golongan pemegang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menerusi satu hantaran video yang dimuat naik di media sosial, Dr Malar mengakui penggunaan perkataan yang kurang tepat dalam perkongsiannya sebelum ini sehingga mencetuskan salah faham dan menyentuh perasaan ramai pihak.
Saya buat video ini adalah untuk memohon maaf kepada Faiz Sol. Apa yang saya maksudkan sebelum ini adalah sesiapa sahaja yang dibawa ke sekolah, merekalah yang akan menjadi inspirasi kepada para pelajar.
Dalam pada itu, Dr Malar turut mengakui kelemahan dalam pemilihan kata-kata yang digunakan sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap golongan tertentu.
Di sini saya mengaku, mungkin penggunaan perkataan saya sebelum ini kurang tepat sehingga memberi gambaran seolah-olah saya merendahkan mereka yang hanya ada SPM.
Itu bukan niat sebenar saya. Apa yang cuba saya sampaikan adalah mengenai pemilihan figura yang dibawa ke sekolah untuk merasmikan atau memberi inspirasi pada hari akademik.
Mengulas lanjut dalam keadaan sebak, Dr Malar mendakwa isu berkenaan telah menjadi bahan perbincangan meluas dan dimanipulasi oleh segelintir pihak sehingga mengundang kecaman bertubi-tubi terhadap dirinya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan menerima segala kritikan yang dilemparkan dan tidak akan memadam komen negatif yang ditinggalkan oleh netizen.
Jika anda mahu unfollow atau kecam, saya terima kesalahan penggunaan perkataan saya. Saya tidak akan padam makian yang ditinggalkan di ruangan komen.
Kepada semua yang terasa, saya minta maaf. Kepada Faiz Sol juga saya minta maaf.
“Saya tetap berpegang pada prinsip bahawa figura yang dibawa masuk ke sekolah mestilah memberi inspirasi yang baik,” katanya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

