Meskipun kecoh apabila ada dalam kalangan selebriti sebelum ini pernah menyuarakan pendapat mereka berkenaan bantuan kepada golongan artis, perkara itu secara tidak langsung memberi ikhtibar buat pengacara dan pelawak popular, Nabil.
Mengakui apa yang terjadi sebagai satu tauladan terbesar dalam hidup, Nabil akui kontroversi berkenaan turut memperbaiki tahap keimanannya.
Tambahnya lagi, dirinya sentiasa bersyukur dengan isu yang tercetus malah tidak menolak segala yang berlaku seakan mendidik dirinya untuk lebih dekat dengan Tuhan dan Al-Quran.
Menurutnya seorang ustaz pernah menasihatkan jika kita seronok dengan pujian yang diberi dan kecewa dengan penghinaan, itu maknanya tahap keimanan kita masih lemah.
“Kenyataan itu bagaikan suatu tamparan buat saya. Ternyata, insiden itu mengubah perspektif saya untuk tidak terus hanyut dengan pujian dan rasa gundah apabila dikecam.”
Meskipun industri hiburan terkesan dengan penularan COVID-19, namun beliau tetap bersyukur kerana rezekinya tidak pernah putus.
Ha ini kerana, beliau amat percaya pada konsep bersedekah di mana lebih banyak kita memberi, lebih banyak rezeki akan Tuhan limpahkan kelak.
“Alhamdulillah, jadual kerja saya sangat padat walaupun dalam tempoh PKP.”
Sebelum ini nama Nabil turut dihempit kontroversi berkenaan isu permohonan Bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk penggiat seni yang menjadi pertikaian netizen.
Nabil bagaimanapun tampil membuat permohonan maaf secara terbuka namun maaf yang dilafazkan itu dikatakan tidak ikhlas dan berniat sekadar mahu menyindir netizen.
Sumber: BH Online