Hari ini, kecoh di media sosial mengenai satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang guru yang didakwa menghina kematian 15 pelajar UPSI.
Guru berkenaan didapati mengeluarkan kenyataan keterlaluan dengan mendakwa pelajar UPSI meninggal dunia dalam keadaan hina kerana berhutang dengan PTPTN.
Hantaran tersebut telah mendapat perhatian ramai termasuklah seorang pempengaruh dan aktivis sosial Pertubuhan Kebajikan Dana Kita, Cikgu Mohd Fadli Salleh.
Selepas menerima pelbagai kecaman, individu yang bernama Khalid Yunus itu akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka.
Menerusi satu hantaran ringkas yang dimuat naik di Facebook, Khalid memohon maaf atas tindakannya dan turut mendoakan agar semua mangsa tragedi tersebut ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Saya ingin memohon maaf terhadap insiden yang berlaku kepada pelajar UPSI.
Semoga mereka di tempatkan bersama orang-orang yang beriman dan mendapat Husnul Khotimah.
Meskipun sudah membuat permohonan maaf, rata-rata netizen masih tidak berpuas hati kerana netizen berpendapat dia tidak menunjukkan teladan yang baik sebagai seorang pendidik.