November 17th, 2017

Nama penyanyi dangdut Mas Idayu sejak beberapa hari lalu agak panas dan menjadi kecaman netizen gara-gara tersebarnya video beliau memberikan kritikan agresif terhadap terhadap peserta D’Academy Asia 3 yang berasal dari Malaysia iaitu Baby Shima. Ramai menganggap cara Mas Idayu untuk menegur tidak betul dan menjatuhkan air muka Baby Shima.

Terbaru , Mas Idayu menerusi portal BH ONLINE menjelaskan beliau tidak berniat untuk memalukan Baby Shima tetapi terlalu kecewa dengan persembahan peserta tersebut.

Siapa yang kenal saya tahu sikap tegas saya dalam mendidik. Ini kerana bagi saya, dia (Shima) seperti anak saya sendiri. Pasti saya berharap dia memberikan yang terbaik. Peminat tidak tahu, saya bersama Shima bersengkang mata sehingga jam 3 pagi sebelum konsert diadakan pada sebelah malam.

Kami sama-sama berlatih untuk memberi persembahan terbaik sebagai wakil Malaysia. Kita kena sedar peserta dari negara lain memberi persembahan yang sangat bagus dan ada kualiti tersendiri.

Saya mahu Malaysia mampu memberi saingan dan tidak lemah.  Saya sedih kerana Shima seolah-olah tidak beroleh ilmu yang saya ajar. Kalau saya sanggup bersengkang mata, dia juga perlu sama-sama menghargainya dan mampu memberi persembahan terbaik.

Berbicara mengenai kecaman dan kritikan netizen yang dilemparkan kepada dirinya, Mas Idayu bagaimanapun tidak mahu mengambil peduli tentang hal itu. Segala kata-kata negatif sebenarnya membuatkan beliau lebih kuat sebagai juri demi mengharumkan nama negara.

Sumber Berita : BH ONLINE


Comments are closed.

Loading...