Pelakon dan penyanyi Fattah Amin menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang menyebarkan fitnah mengaitkan dirinya dalam isu rumah tangga orang lain.
Menurut pemilik nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin, 35, dia tidak memandang ringan terhadap sebarang bentuk fitnah, malah kini tindakan undang-undang sedang dalam proses terhadap individu-individu yang terbabit.
Saya tak tahu sangat perkara ini (babitkan isu rumah tangga), tapi pihak pengurusan saya sedar akan perkara itu selepas diberitahu peminat.
Tapi apa yang saya boleh katakan adalah, perkara yang tak elok dan fitnah, pihak pengurusan saya akan ambil tindakan dan jika perlu, kami guna undang-undang.
Sebenarnya ketika ini, perkara ini bukan lagi sedang dipertimbangkan tapi proses untuk tindakan undang-undang sedang diuruskan. Tindakan akan diambil terhadap sesiapa yang menyebarkan fitnah, yang membuatkan perkara yang lebih teruk.
Fattah menyatakan perkara tersebut ketika ditemui selepas memenangi trofi Selebriti Maskulin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025, malam tadi
Apa yang diberitahu pihak pengurusan saya, ya memang ada segelintir mahu mencalarkan nama saya tapi negara kita ada undang-undang.
Saya rasa ini adalah lumrah sebagai anak seni, kita tak akan terlepas dari kontroversi atau gosip. Kita tak boleh expect semua perkara positif sahaja, ada benda negatif. Tak semua orang senang tengok kita.
Dalam masa sama, Fattah berkata dia memilih untuk terus memberi fokus kepada kerjaya seninya dan tidak melayan sebarang hal negatif yang boleh menjatuhkan namanya.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila seorang pempengaruh mendakwa rumah tangganya diganggu oleh seorang wanita yang juga pernah dikaitkan sebagai punca keretakan rumah tangga Fattah dan bekas isterinya, Fazura.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.