Meskipun didakwa terlibat dalam kes amang seksual yang melibatkan seorang remaja perempuan yang berusia 17 tahun, penyanyi dan pelakon terkenal iaitu Naim Daniel memberitahu keadaan mentalnya masih berada dalam keadaan yang baik.
Menurut Xtra, Naim berkata dia memilih untuk kekal tenang dan memberi sepenuh fokus terhadap proses perundangan yang sedang berlangsung.
Keadaan mental saya baik. Saya tak melatah dan betul-betul beri tumpuan sepenuhnya pada kes ini.
Katanya lagi, keluarga terdekat turut memberikan sokongan moral dan mendoakan yang terbaik untuk dirinya.
Keluarga saya semuanya okay dan tiada masalah. Mereka beri sokongan dan doa yang baik.
Dalam pada itu, penyanyi itu turut menjelaskan segala urusan berkaitan aktiviti seninya masih dalam perbincangan bersama pihak pengurusan.
Persembahan dan aktiviti seni masih dalam perbincangan. Buat masa ini, saya hanya fokus pada perkara yang sudah sedia ada di hadapan mata.
Sebelum ini, Naim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas pertuduhan melakukan amang seksual secara fizikal terhadap seorang remaja perempuan yang berusia 17 tahun pada Mei lalu.
Menerusi prosiding pertama, Naim dikenakan jaminan sebanyak RM12,000 dan turut diarahkan untuk menyerahkan pasport antarabangsa kepada pihak mahkamah.
Sebutan semula kes dijadualkan berlangsung pada 18 Ogos 2025.