Penyanyi muda yang pernah menggondol gelaran Juara Lagu dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-34 Februari lalu kini terpalit dengan beberapa cerita ‘tidak enak’ apabila dia didakwa lupa diri dan sukar untuk dihubungi.
Malah, ada juga yang mendakwa bahawa Naim Daniel tidak memberikan sebarang respon apabila ada pihak menghubungi dia untuk menjayakan sesi fotografi.
Namun, tampil memberi respon atas dakwaan terbabit kerana bimbang boleh menjejaskan kerjayanya, Naim memberi sebab dia terlalu sibuk hingga kadang-kadang terlupa membalas pesanan dan panggilan telefon yang diterimanya.
“Saya minta maaf jika ada sesiapa merasakan saya mula luoa diri. Minta jauh dari sikap tu. Saya bukannya ‘kekwat’, cuma terlalu sibuk hingga terlupa membalas pesanan dihantar. Ada masa, panggilan telefon daripada ibu pun tak sempat diangkat. Insyallah saya tiada masalah menjayakan sesi temuramah atau sesi fotografi. Lagi pun sudah lama saya tak berkesempatan menjayakannya kerana sibuk beri tumpuan pada dunia muzik,”
Naim yang ditemui berkata lagi bahawa dia tidak pernah berasa dirinya hebat apatah lagi selepas dirinya meraih gelaran Juara Lagu pada anugerah berprestij AJL itu.
Menurut pemilik nama Muhammad Naim Daniel Baharin ini, dia masih berpijak di bumi nyata dan tidak sesekali akan bersikap begitu kerana ianya akan menjejaskan periuk nasi dan sumber rezekinya.
“Jika sudah lupa diri tentu pelbagai cerita negatif keluar selepas AJL, tapi Alhamdullilah, saya masih berpijak di bumi. Seperti yang pernah saya kata dulu, saya berusaha keras untuk keluarga jadi tak mungkin saya akan menjejaskan periuk nasi saya sendiri,”
Mengakui kejayaan yang diraih kini bukanlah atas usahanya sendirian, tapi turut juga melalui sokongan peminat dan rakan media yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang mengharungi perjalanan dalam dunia seni.
Perkembangan terbaru, Naim kini aktif melibatkan diri dalam dunia lakonan dan kini sedang sibuk dengan penggambaran drama terbaru bertajuk Lelaki Lingkungan Cinta terbitan Zeel Production yang bakal mengisi slot Lestary di TV3 kelak.
Sumber : Berita Harian Online