Seorang pelajar universiti swasta yang didakwa merakam bawah skirt seorang wanita di stesen MRT di Cheras pada Ahad lalu telah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret.
Memetik laporan NST, Muhammad Hafiz Damian Abdul Qawwiy, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Saya faham pertuduhan. Saya mengaku tidak bersalah.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut dengan menunjukkan isyarat bagi melihat bahagian sulit seorang wanita berusia 28 tahun pada jam 8.53 malam di Stesen MRT Taman Pertama pada 22 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana berniat untuk mengaibkan kehormatan seorang wanita, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurainizatul Farhana Zainal tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan itu adalah tidak boleh dijamin.
Mahkamah benarkan ikat jamin
Dalam rayuan mitigasi, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Mohammad Sufi Mohammad Sukor memohon agar tertuduh dibenarkan jaminan kerana masih muda.

gambar hiasan
Saya mohon supaya dia dibenarkan jamin kerana akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi.
Ini merupakan kesalahan pertamanya dan dia telah memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis. Tiada risiko dia akan melarikan diri.
Bapa angkatnya juga hadir di mahkamah untuk menjamin, namun hanya mempunyai kurang daripada RM1,000.
Kenyataan itu mendorong Majistret Atiqah bertanya kepada bapa angkat Hafiz yang berada di galeri awam berapa jumlah wang yang ada. Lelaki itu menjawab bahawa dia mempunyai RM1,000.
Majistret turut bertanya kepada Hafiz mengenai peperiksaannya, dan Hafiz menjawab bahawa kertas terakhirnya adalah pada hari Khamis.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan Hafiz melaporkan diri ke balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos untuk pelantikan peguam.