Pempengaruh media sosial Aqil Zulkiflee meluahkan rasa kecewa selepas menerima pelbagai kecaman susulan video siaran langsungnya di TikTok yang tular di media sosial.
Rakaman tersebut didakwa memaparkan Aqil merungut tentang isterinya yang kurang mahir menghasilkan kandungan bersamanya ketika ‘live’, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Menerusi perkongsian di Threads, Aqil menegaskan dia tidak terkesan dengan kritikan yang dilemparkan dan menyerahkan kepada orang ramai untuk membuat andaian sendiri.
“Ramai betul orang kecam, haters memang tunggu masa nak maki carut aku. Ikut koranglah nak buat andaian apa pun daripada potongan live tu,” tulisnya.
Menurut Aqil, situasi sebenar tidak seperti yang digambarkan. Malah, isterinya berada di sebelah ketika siaran langsung itu berlangsung dan memahami gurauannya.

“Hakikatnya bini aku ada sebelah masa live tu, siap gelak-gelak lagi tengok perangai aku. Kemain manipulasi cerita sampai nampak macam aku tak hormat isteri sendiri dan buka aib bagai,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan hubungan rumah tangganya berada dalam keadaan baik dan meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berlebihan.
“Apa pun yang paling penting, aku dengan bini aku baik-baik sahaja. Korang tak payah risau sangat. Doakan yang baik-baik sahaja,” katanya.
Terdahulu, Aqil mencetuskan kontroversi selepas rakaman ‘live’ TikTok miliknya tular, memaparkan dirinya menyakat isterinya yang kurang mahir menghasilkan konten. Dia juga didakwa memperlekehkan isterinya serta merungut mengenai pemberian wang berjumlah RM2,000, sehingga mengundang perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
