Seorang pengawal keselamatan telah ditahan polis selepas tular rakaman memaparkan dirinya melakukan pemerasan terhadap orang awam yang meletakkan kenderaan di Hospital Kajang, 23 Disember lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 55 saat berhubung kejadian itu yang dimuat naik oleh seorang pengguna TikTok semalam.
Video itu memaparkan seorang wanita dipercayai meminta pengawal keselamatan memulangkan wang tunai RM50 milik ibunya. Kejadian dipercayai berpunca daripada isu parkir di kawasan hospital terbabit.
Pengawal terbabit didakwa cuba mengambil kesempatan terhadap pengunjung yang meletakkan kenderaan di kawasan yang tidak dibenarkan dengan meminta wang daripada mereka.
Terdahulu, rakaman tersebut tular di media sosial dan telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengawal keselamatan wanita itu.
@allyszackry_ Alang2 ramai dah kena ni lah muka dia hati hati bila pergi hospital kajang , nama dia MANUSHA , target dia orang tua orang luar. alasan dia adalah parking staf dan untuk claim atau bayar dia duit rm50 kalau tidak clamp kete!! mak aku kene berderau darah..#pdrmmalaysia #hospitalkajang ♬ original sound – allyszulkeflee🕊️
Tambah Naazron, suspek juga dikatakan mengeluarkan kata-kata berunsur ugutan dan tidak sopan semasa kejadian.
Suspek kini direman selama dua hari sehingga esok (Rabu) bagi membantu siasatan.