Nama penyanyi kelahiran Sabah, Sandra Dianne yang popular menerusi lagu “Hey Kau!” kini seolah-olah lenyap dari persada muzik tanah air.
Bagaimanapun, penyanyi yang bakatnya dicungkil melalui program realiti Mentor Legend 2014 itu menafikan dirinya tidak lagi aktif. Hal ini demikian kerana, selepas kejayaan single pertamanya itu, Sandra dikhabarkan masih ligat merakamkan lagu.
Menurutnya, beliau kini sudah memiliki empat single dan masih bernaung di bawah Sony Music.
“Saya tidak pernah menghilang. Sebenarnya, saya masih aktif dalam dunia seni dan belakang tabir. Saya aktif menulis lagu dan masih berkarya.”
Tambah Sandra, sebagai punca pendapatan sampingan, beliau juga sibuk menguruskan perniagaan ikan masin.
“Pada masa sama, saya sibuk menguruskan perniagaan ikan masin.”
Ujarnya lagi, perjalanan lima tahun membina nama sebagai penyanyi bukanlah sesuatu perkara yang mudah.
“Tapi saya tetap berusaha dan tidak mahu hanya bergantung kepada nyanyian. Sebaliknya, saya cuba mencari alternatif mendapatkan duit lebih hingga tercetus idea menjual ikan masin.”
Meskipun begitu, Sandra mengakui artis generasi baharu kini sangat beruntung kerana mempunyai platform media sosial untuk berkongsi aktiviti mereka berbanding dengan zamannya dahulu. Malah tetap cuba menyesuaikan diri dengan rutin norma baru tersebut untuk lebih dekat dengan peminat dan meraih populariti semula.
Untuk rekod, lagu nyanyian Sandra berjudul “Hey Kau!” kini telah meraih lebih tujuh juta tontonan di laman YouTube selepas lima tahun dimuat naik di platform berkenaan.
Sumber: BH Online