Meskipun namanya pernah terpalit dengan kontroversi dan cerita tidak menyenangkan, pelakon jelita Sophia Albarakbah bersyukur apabila bakat seninya dikenali ramai sekaligus melayakkan dirinya terpilih dalam Top 5 ABHBH35 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Kata Sophia, sebagai seorang selebriti, dia sedar dirinya tidak akan terlepas dari kontroversi dan mengakui tidak kisah jika ada yang berpendapat namanya dipilih disebabkan kisah ‘penyondol’ itu.
Saya gembira kerana peminat menyokong dan menghargai saya. Sesungguhnya, saya tidak meletakkan apa-apa harapan. Tetapi, apabila dimaklumkan nama saya berjaya melangkah ke Top 5 di samping nama hebat, tentunya saya amat terkejut.
Ujarnya, dia mahu dikenali dengan hasil kerja seni dan bukan hanya kontroversi semata-mata.
Saya berterima kasih kepada peminat yang bersusah payah mengundi, ini bermakna bakat dan hasil seni saya diiktiraf. Saya akan terus memberikan hasil lakonan terbaik buat peminat.
Terdahulu, nama Sophia menjadi sebutan netizen di media sosial apabila dia telah terlibat dalam isu mengganggu rumah tangga pelakon Bella Astillah dan suami, pelakon Aliff Aziz ketika mereka berdua terlibat dalam penggambaran drama Ku Akad Kau Dengan Bismillah.