Gelombang bantahan rakyat Johor terhadap aktivis Fahmi Reza dilihat semakin memuncak apabila lebih 50 laporan polis dibuat di seluruh negeri ini berhubung dakwaan penghinaan terhadap institusi Diraja Johor.
Difahamkan, laporan polis tersebut dibuat secara serentak dan berperingkat di pelbagai daerah sebagai tanda penolakan keras terhadap sebarang cubaan mencemar maruah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, serta institusi Diraja negeri ini.
Antara pihak yang tampil membuat laporan polis termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan belia di peringkat negeri dan daerah seperti Majlis Belia Negeri Johor, Majlis Belia Daerah Johor Bahru, Majlis Gabungan Belia Mersing, Majlis Belia OKU Johor serta beberapa lagi pertubuhan belia lain.
Selain itu, tindakan sama turut disertai Pergerakan Pemuda UMNO di beberapa bahagian termasuk Ayer Hitam, Simpang Renggam, Kluang, Pagoh, Mersing, Muar, Segamat dan Kulai.
Keseriusan isu tersebut turut dizahirkan apabila lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor dari pelbagai kawasan mengambil langkah membuat laporan polis. Antara DUN yang terlibat ialah Rengit, Kota Iskandar, Kempas, Larkin, Yong Peng, Bekok dan Semerah.
ADUN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad, berkata semua pihak yang terlibat sebulat suara menggesa pihak polis mengambil tindakan segera termasuk memadamkan hantaran Facebook berkenaan bagi mengelakkan ia terus tersebar dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, institusi raja merupakan tonggak Perlembagaan Persekutuan dan wajib dihormati oleh semua pihak tanpa mengira latar belakang atau perbezaan pandangan politik.
“Perbuatan menghina raja bukan sahaja mencetuskan kemarahan rakyat, malah berpotensi mengundang isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang boleh menggugat keharmonian negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Isu berkenaan terus menjadi perhatian orang ramai dengan pelbagai reaksi disuarakan di media sosial.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

