Penyanyi merangkap pengurus, Siti Saerah memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai dakwaan bekas suaminya yang menuduh dirinya mengerah tenaga anak-anak, Amad dan Umairah, bekerja keras demi mencari wang.
Menurut Saerah atau nama penuhnya Siti Nursairah Tarudin, 42, isu keluarga lebih baik disimpan sendiri berbanding dijadikan tatapan umum.
Saya tidak mahu komen tentang perkara ini. Keutamaan saya adalah menjaga mental anak-anak. Saya tidak mahu perkara ini menganggu mental mereka.
Saya harap orang di luar sana tidak bertanya tentang hal keluarga kerana perkara itu boleh memberi tekanan kepada anak-anak saya dan juga saya sendiri.
Diri saya sendiri sebenarnya sudah jatuh ke jurang paling dalam. Tetapi saya kena kuat. Saya tak boleh tunjuk kepada anak-anaknya yang saya tak kuat,” katanya ketika ditemui selepas tamat konsert Talk To My Manager, semalam.
Tambah adik kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza itu, dia bukanlah seorang yang gemar menceritakan hal peribadi.
Saya bukanlah manusia yang suka bercerita. Allah sudah menentukan takdir masing-masing. Apa yang saya lalui, orang tak tahu. Biarlah pihak sana nak berkata apa pun.
Pada saya, cukup saya mengunci mulut supaya saya dan anak-anak hidup tenang. Saya sudah mengajar anak-anak supaya hidup sayang ibu dan bapa. Itu yang paling penting.
Dalam pada itu, pada konsert minggu kelima semalam, anaknya Amad dilihat tidak dapat menahan sebak sehingga menangis ketika menyampaikan lagu Mama Papa Larang. Persembahannya turut terganggu kerana tidak mampu menyempurnakannya dengan baik.
Ditanya sama ada Amad terganggu dengan kemelut keluarga yang berlaku, Saerah menyifatkan perkara itu terlalu peribadi untuk dikongsikan. Namun katanya, Amad berada dalam keadaan yang baik.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.