Agak kecoh juga bila Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara didakwa oleh penulis sebuah blog  sebagai suami Syella Kamaruddin dan telah membelanjakan jutaan wang ringgit untuk majlis perkahwinannya dengan penyanyi itu. Sehubungan itu dia menegaskan kepada Mstar Online yang dia sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis blog tersebut.
Setiap kali penulis blog melemparkan tohmahan liar, ia akan memberi kesan kepada mereka sekiranya tuduhan tiada bukti.
Agensi Pencegahan Rasuah telah menyiasat saya berhubung tuduhan rasuah bernilai RM2 juta dan saya bebas daripada tuduhan itu.
Mujur juga isterinya, Puan Sri Juriah Ahmad tidak mempercayai khabar itu:-
Dia tahu saya tidak akan berkahwin dengan sesiapa saja kerana saya sentiasa bersamanya. Saya hanya ada seorang isteri, empat anak dan enam cucu.
Jika saya berkahwin lagi, saya tidak akan merahsiakan perkara itu. Ia tidak seperti melakukan zina.
Syella tidak mahu mendedahkan identiti suaminya dan dipetik sebagai berkata, suaminya tidak menyerupai Musa malah kelihatan lebih muda dan berbadan tegap. Tapi pada mata kami ini Tan Sri Musa lebih tinggi dan kekar berbanding suami Syella, yalah, sesuai dengan posisinya sebagai bekas Ketua Polis Negara (jangan marah ya, Syella).
Beberapa keping gambar Syella memotong kek bersama suaminya telah tersiar dalam beberapa laman blog dan turut disiarkan oleh media bahasa Cina.
Musa kini mengajar di Pusat Latihan Perang untuk media di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan berasa selesa dengan tugas barunya itu. Dia yang bersara tahun lepas turut menambah yang dia tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk dibelanjakan.