Mengambil pendekatan untuk tidak mengambil kisah berhubung dakwaan dirinya menjadi orang ketiga dalam sebuah hubungan percintaan yang retak sebelum ini, pengacara dan ushawan terkemuka tanah air dilihat enggan mengulas lanjut.
Katanya, beliau kini memilih untuk mengunci mulut daripada menjaja cerita mengenai soal peribadi.
“Saya tak tahu dan tak ambil kisah. Sebolehnya saya tak mahu tambah kerisauan tentang hal itu. Mengenai hal peribadi saya juga tak mahu bercerita banyak kerana bimbang ia boleh memakan diri. Saya kunci diri daripada benda-benda tak patut, tak ada apa yang boleh saya komen.”
Menurutnya lagi, perkara itu tidak wajar didedahkan kerana tidak mahu membuka aibnya sendiri.
“Bagi saya tak perlu buka aib sendiri, begitu juga orang di luar sana. Kalian ada media sosial jadi lebih baik jangan terlalu dedahkan hal peribadi.”
Ujarnya, kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan seseorang lelaki sebelum ini bukan perkara baharu sepanjang perjalanan kariernya bergelar anak seni.
“Sejujurnya ini bukan benda baharu. Saya ada terdengar orang mengaitkan saya dengan seseorang sebelum ni tapi saya tak ambil kisah,”
Terdahulu, kecoh di pelusuk media sosial apabla bekas kekasih Pencetus Ummah (PU) Rizz, Amal Syahmina, “khabarnya” tampil menyindir tindakannya memakai sarung kaki.
Menerusi posting yang berbeza, Amal mendakwa hubungan percintaannya juga mula terjejas selepas wujudnya orang ketiga.
Tidak kurang juga, dakwaan mengenai hubungan rapat Neelofa dan PU Riz pula mula diperkatakan netizen selepas mereka dikatakan sering dilihat bersama sejak Ramadan lalu. Bagaimanapun, Neelofa yang popular dengan sikap profesionalnya tampil menafikan segala dakwaan tersebut dan menyifatkan mereka berjumpa atas dasar kerja.