Didakwa Dera Pembantu Rumah, Dua Beranak Masih Mengaku Tidak Bersalah

Trending

Didakwa Dera Pembantu Rumah, Dua Beranak Masih Mengaku Tidak Bersalah

Keadaan menjadi semakin sulit apabila dua beranak telah mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas pertuduhan secara bersama mendera seorang wanita warga Kemboja berusia 27 tahun pada 24 Februari lalu.

Tertuduh, Teoh Beng Sim, 56, dari Kampung Baru, Bukit Mertajam dan anaknya Teh Hooi Fung, 36, dari Taman Seri Bukit Indah, Bukit Mertajam, di sini membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Advertisement

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama-sama memperdagangkan Soy Rom bagi maksud eksploitasi pengabdian dengan cara kekerasan.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 10.45 malam di sebuah rumah di Jalan Perpaduan Kampung Baru, Bukit Mertajam.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga hingga 20 tahun dan dikenakan denda.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Syeqal Che Murat manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Supramaniam Kasia Pillai.

Pihak pendakwa tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap mereka, bagaimanapun pihak pembelaan merayu agar mereka dibenarkan ikat jamin dengan alasan kedua-dua tertuduh sebelum ini memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan polis.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 19 April depan untuk sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan dengan mengarahkan kedua-dua tertuduh lapor diri di balai polis berhampiran setiap 15 hari bulan sehingga kes selesai.

SUMBER

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Comments are closed.

Loading...