Pelakon dan penyanyi, Betty Banafe meluahkan rasa kecewa apabila konflik mahkamah bersama bekas suaminya masih berlarutan sehingga kini, walaupun sudah bertahun-tahun berlalu sejak perpisahan mereka.
Menerusi satu perkongsian di Instagram, Betty mendedahkan bahawa kemelut tersebut kini telah memasuki tahun kelapan, dengan pelbagai tindakan undang-undang yang difailkan terhadapnya sepanjang tempoh itu.
“Saya dah cukup sabar… ini sudah masuk tahun ke-8, turun naik mahkamah hampir setiap bulan. Ada 17 kes saman difailkan termasuk lima komital yang langsung tidak berkaitan dengan perintah penjagaan sementara.”
“Tak kesian ke tengok anak-anak terpaksa hadap perbualan negatif dan toksik setiap kali berjumpa keluarga bekas suami?”
“Kenapa tak fokus pada kewangan dan masa depan anak-anak, daripada terus berperang di mahkamah hanya untuk rebut hak penjagaan penuh?” katanya.
Dalam masa sama, Betty turut mempertikaikan tindakan bekas suaminya yang didakwa menetap di luar negara tetapi masih berusaha mendapatkan hak penjagaan penuh terhadap anak-anak mereka.
“Bekas suami berada di Amerika, tapi masih nak rebut kuasa penuh penjagaan sedangkan tak mampu jaga anak-anak secara langsung,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ketika proses perceraian sebelum ini, dia tidak pernah menuntut sebarang nafkah termasuk mutaah, eddah atau harta sepencarian kerana hanya mengharapkan ketenangan dalam hidup.
“Waktu cerai dulu, saya tak minta apa-apa. Saya cuma nak berdamai dan mencari ketenangan jiwa serta memperbaiki diri. Salah ke?” luahnya.
Dalam hantaran yang sama, Betty turut mendakwa terdapat laporan palsu yang dibuat terhadapnya oleh bekas suami kepada pihak berkuasa, termasuk tuduhan berkaitan penderaan anak-anak dan pembantu rumah.
“Inilah bila bekas suami bertindak melampau, menjadikan anak sebagai umpan untuk membuat laporan terhadap saya atas tuduhan dera anak-anak dan pembantu rumah. Akhirnya anak-anak sendiri rasa tertipu,” tambahnya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
