Segala spekulasi terjawab apabila Bella Astillah mengumumkan berita mengejutkan bahawa dia dan Aliff Aziz sudah kembali rujuk sebagai suami isteri ketika dalam tempoh iddah. Malah, Bella juga mengakui dia kini sedang hamil anak kedua.
Tidak dinafikan berita itu mengejutkan ramai dan sejurus selepas ianya viral, timbul pelbagai andaian dan persoalan daripada netizen. Ada yang mendoakan kebahagiaan rumah tangga pasangan ini tetapi ada juga yang mencaci serta mengecam Bella kerana masih ingin terus menyeksa diri menerima lelaki yang sebelum ini sudah banyak melukakan hatinya.
Bagaimanapun, Bella berkata dia menerima segala kritikan dengan hati terbuka dan enggan terlalu ambil pusing mengenai perkara itu. Dia juga memaafkan netizen yang mencaci dirinya.
Ramai yang mencaci saya bodoh, fitnah saya dan sebagainya, tapi saya maafkan mereka. Selepas ini, saya hanya fokus pada doa-doa yang lebih baik.
Apapun yang mereka nak fikir mengenai saya, akan selamanya kekal begitu. Walaupun, jika saya cuba jelaskan, kalau mereka tak suka tetap tak suka. Sama ada pilihan saya salah atau tindakan yang kurang bijak bagi sesetengah pihak kerana kembali rujuk dengan suami, itu akan ditanggung oleh saya sendiri.
Tidak hanya memikirkan soal diri sendiri, Bella berkata segala keputusan yang dibuat adalah untuk anaknya tercinta agar membesar dalam keluarga yang lengkap.
Pilihan saya adalah untuk anak memiliki ibu bapa yang lengkap dan cuba perbaiki apa silap sebelum ini. Mudah untuk orang menilai, tetapi hanya saya dan keluarga tahu niat utamanya sudah memadai. Perkara yang pernah berlaku biarlah berlalu, manusia tiada yang sempurna.
Terdahulu, pada Mei tahun lalu, pasangan ini mengambil keputusan untuk bercerai selepas Aliff beberapa kali kantoi curang.