Seorang pakar psikiatri forensik memaklumkan kepada Mahkamah Koroner bahawa diari milik Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengandungi luahan emosi mendalam terhadap ibunya, termasuk kemarahan, kebencian serta keinginan untuk menjauhkan diri daripada keluarga.
Saksi ke-67, Dr Chua Sze Hung berkata, kandungan diari tersebut menunjukkan corak luahan emosi berulang terhadap individu yang dirujuk sebagai A2 (ibu).

“Diari tersebut mencerminkan persepsi si mati terhadap A2 (ibu). Dalam diari itu, si mati menulis beberapa halaman mengenai A2. Halaman-halaman yang menggambarkan A2 sarat dengan kata-kata kesat.
“Halaman tersebut terdapat penandaan Y1 hingga Y15. Pada November 2024, si mati menulis dengan perasaan marah dan bengang, kata-kata tersebut disertai tanda sarkastik yang ditujukan kepada A2, yang namanya disebut kemudian.”
“Beliau menyatakan bahawa dia akan merasa lega tanpa A2 dalam fikirannya. Banyak catatan ditulis dengan nada ditujukan kepada A2. Beliau juga merujuk A2 sebagai gangguan kepada orang lain dan mengharapkan kematian awal A2,” katanya ketika menjawab soalan peguam, Datuk Ram Singh dalam prosiding inkues.
Menurut beliau, diari itu turut menunjukkan keinginan si mati untuk menjauhkan diri daripada keluarga serta mencari ketenangan melalui perubahan persekitaran.
“Dia juga menyatakan lebih rela dibuli dan kehilangan barang berbanding terus dimarahi oleh ibunya,” katanya.
Tambahnya, catatan tersebut turut menggambarkan perasaan tidak disayangi, kebencian serta tekanan emosi berpanjangan dalam hubungan kekeluargaan, termasuk ungkapan seperti ‘kalau hari-hari ja begini, mental saya pun nda kuat bah, lebih baik saya mati ja’.
Bagaimanapun, Dr Chua menegaskan bahawa kandungan diari itu adalah berdasarkan persepsi si mati dan tidak boleh disahkan sebagai fakta.
Prosiding inkues ditangguhkan dan akan bersambung semula pada 13 hingga 17 April ini. – Sinar Harian
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
