Mengakui tahta anak seni bukan sahaja diberi kepada kalangan artis semata-mata malah yang berada di belakang tabir juga turut tergolong, pelakon Diana Danielle tampil mempertahankan permohonan penggiat seni untuk kembali melakukan penggambaran.
Menurutnya, selepas terpaksa diberhentikan ekoran penularan wabak COVID-19, golongan berkenaan difahamkan sedang menempuh fasa yang kritikal.
Tambah Diana, beliau bukan mahu menagih simpati atau meminta lebih dari sepatutnya namun mengenang akan nasib krew yang tidak mempunyai kerja yang tetap sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan mereka.
Hal ini demikian kerana, kebanyakan golongan ini hanya akan peroleh pendapatan sewaktu bekerja sahaja. Misal kata tiada kerja sepanjang tempoh PKP ini maka tiada bayaran buat mereka.
“Bayaran contohnya rm10k tapi dipecahkan kepada 3 kali bayaran selama 3-4 bulan. Ada yang gaji mereka pun hanya 3-4 ribu juga dipecahkan kepada 3 kali bayar, berapa sangat untuk mereka nak bertahan kalau lama tak kerja kan,”
Tambah pelakon filem Magika itu lagi, beliau kini amat berharap supaya temui jalan penyelesaian bagi membantu golongan ini agar mampu menjana pendapatan susulan pandemik ini
Katanya, golongan ini tiada persatuan yang mampu bersuara dalam memperjuangkan hak mereka. Bukan hanya terjadi di Malaysia semata-mata malah seluruh dunia juga turut terkesan.
“Jika tak dapat nak sambung shooting, apakah cara untuk pastikan mereka yang kerja dalam bidang ni tidak terus terumbang ambing dan langsung tiada pendapatan. Harap kita dapat cari solusinya bersama”
Sebelum ini, Dr. Ahmad Ibrahim selaku Presiden Persatuan Filem Malaysia (FDAM) membuat permohonan kepada kerajaan supaya meluluskan para penggiat seni untuk kembali bekerja semula selepas beberapa ditangguh susulan penularan wabak ini.