Pandemik Covid-19 tidak dinafikan boleh menyebabkan banyak perkara menyedihkan namun satu perkara positif yang datang daripada wabak maut tersebut adalah mengelakkan pembaziran terutama dalam hal perbelanjaan majlis perkahwinan.
Positif dengan situasi tersebut, pelakon popular Diana Danielle mengakui berasa gembira dengan norma baharu yang diamalkan oleh masyarakat yang ingin berumah tangga sepanjang pandemik.
Saya suka bagaimana majlis perkahwinan sewaktu era Covid-19 sangat ringkas sekarang. Kalau dahulu, tiada seribu orang dijemput datang dengan dua tiga majlis, mereka dipandang serong.
I like how weddings during covid is so simplified now kalau tak dulu takde seribu org dijemput dtg dgn 2-3 majlis dipandang serong. Sian pengantin, bukan semua mampu, sampai berhutang nak capai piawaian "kahwin" tu. Now its just about them and their family.
— Diana Danielle (@ImDianaDanielle) December 16, 2021
Perkara tersebut dikongsikan Diana menerusi sebuah ciapan di laman Twitter miliknya untuk tatapan peminat serta pengikutnya di laman sosial tersebut.
Menerusi ciapan tersebut, Diana memberitahu yang dia sebenarnya berasa kasihan dengan pengantin kerana bukan semuanya berkemampuan sehingga ada yang sampai berhutang untuk mencapai piawaian ‘kahwin’ itu.
Ciapan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dan rata-rata daripada mereka bersetuju dengan pendapat isteri kepada pelakon, Farid Kamil itu.
Memasuki era endemik dan bagi mengekang penularan virus Covid-19 yang belum berkesudahan, ramai dalam kalangan masyarakat khususnya pasangan yang ingin berkahwin mula menampakkan kebijaksanaan.
Ini adalah kerana, masyarakat kini sudah bijak untuk menguruskan kewangan dalam hal majlis perkahwinan apabila hanya menjemput kenalan terdekat ke hari bahagia mereka.