Cef selebriti terkenal, Cef Wan, tampil menjelaskan situasi sebenar berhubung insiden tular semasa siaran langsung sebuah program yang mencetuskan perdebatan di kalangan pengguna media sosial.
Kejadian itu berlaku apabila seorang pempengaruh media sosial, Iddin Ramli, diminta untuk membaca doa sebelum azan Maghrib berkumandang, bagi menandakan waktu berbuka puasa.
Menurut Cef Wan, sebelum kejadian itu, pihak hos sempat bertanya kepada Iddin mengenai panjang atau pendek bacaan doa, kerana waktu azan sudah hampir masuk.
“Ustaz pun baca lah doa berjela panjangnya. Dah lah tu dia tutup matanya. Depan kita semua ‘floor manager’ (penyelaras majlis) dan kru produksi dah bagi isyarat minta ‘wrap up’ (selesai) berkali-kali. Ustaz tak nampak.”
“Selalu bila kita buat siaran langsung kena prihatin masa, tak boleh lebih. Apa lagi waktu azan masa orang nak buka puasa. Ya Allah satu Malaysia menunggu waktu berbuka ketika itu. Azan tak boleh lewat, rancangan juga tak boleh terlebih masa,” kata Cef Wan dalam hantaran TikToknya.
Menurut Cef Wan, beliau pada awalnya berasa serba salah untuk menegur Iddin kerana bimbang tindakannya disalah tafsir oleh penonton.
Namun, apabila keadaan semakin panik dan waktu berbuka semakin hampir, beliau akhirnya mengambil keputusan untuk bertindak.
“Akhirnya saya cuit jugak kerana ‘floor manager’ dan pengarah di dalam semua tak sabar lagi! Saya cuit lengan ustaz tu maka buka lah biji mata dia,” jelas Cef Wan.
Cef Wan menegaskan bahawa beliau hanya menjalankan arahan yang diberikan oleh floor manager dan tidak berniat untuk tidak menghormati sesiapa.
Kejadian tersebut turut membuatkan Cef Wan terpaksa berhadapan dengan situasi yang agak kelam-kabut, di mana beliau dan pengacara lain turut merasa panik kerana Iddin terus membaca doa tanpa sedar akan isyarat untuk berhenti.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
