Pengarah dan penerbit terkenal, Erma Fatima menyifatkan dakwaan yang mengatakan adiknya, Betty Rahmad bersikap kurang ajar ketika mengunjungi sebuah reruai di festival di Singapura sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
Erma atau nama lengkapnya Fatimah Rahmad Ali, 51, mengakui dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan mengenai dakwaan tersebut yang kini tular di media sosial.
“Saya ada mesej Betty dan cakap ‘wow, you so famous sekarang’. Dia jawab ‘aku pun tak tahu apa salah aku’. Bagi saya, kalau dia buat benda itu, memang tak waraslah.”
“Pergi ke booth orang dan jerit pada pekerja, bagi saya memang tak logik. Bukan sebab dia adik saya, tetapi rasanya perkara itu tak masuk akal langsung.”
Menurutnya lagi, isu tersebut dilihat seperti diperbesar-besarkan sehingga mencetuskan persepsi negatif terhadap Betty, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang menjalani bulan Ramadan.
Mengulas mengenai namanya yang turut dikaitkan dalam kontroversi tersebut, Erma berkata dia memilih untuk tidak melayan individu yang mencetuskan sensasi berkenaan.
“Individu itu saya tak tahu siapa, asal-usul pun saya tak tahu. Sebab itu saya tak mahu beri apa-apa kenyataan atau komen. Ada yang suruh saya saman, tetapi bagi saya tak berbaloi.”
“Pada pendapat saya, dia bukan setaraf saya untuk saya bercakap mengenai dia. Maaf kalau bunyi kasar, tetapi dialah yang sepatutnya belajar adab.”
Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang individu mendakwa Betty bersikap biadab terhadap pekerja di sebuah reruai ketika sebuah festival berlangsung di Singapura.
Menerusi hantaran di TikTok, individu berkenaan mendakwa usahawan tersebut meninggikan suara terhadap pekerja reruai ketika situasi sedang sibuk melayan pelanggan.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

