Penyanyi Kaka Azraff mengakui statusnya sebagai anak saudara kepada lagenda ratu rock negara, Ella telah banyak mengajar dirinya tentang selok-belok dunia seni nyanyian dan hiburan.
Ujar Kaka, segala input mengenai nyanyian dan adat resam industri seni dipelajari melalui pengalaman yang pernah dialami ibu saudaranya itu selama bergelar anak seni.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff berkongsikan mengenai perkara tersebut menerusi sebuah program Youtube #MHLIFESTYLE anjuran Media Hiburan.
Katanya lagi, ketika waktu kecil jika ada kontroversi mengenai Ella, dia juga pasti akan menerima tempias.
Masa kecil dulu biasalah kan waktu zaman sekolah bila ada kontroversi mengenai Ella, kawan-kawan suka ejek dan usik-usik. Akan tetapi benda itu yang membuatkan saya kuat untuk berhadapan dengan apa-apa kisah sensasi. Tak adalah terpalit sangat tapi cuma adalah sikit bila orang bercakap dan bertanya, selalunya saya hanya jawab tak tahu sajalah.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Gila ini juga menyifatkan Ella sebagai seorang yang baik dan ‘cool’.
Kaka sekeluarga yang tinggal bersama nenek mereka pastinya akan dikunjungi penyanyi lagu Sembilu itu ketika di waktu lapang.
Setiap kali bila dia ada, saya sentiasa rasa teruja untuk jumpa dengannya. Dia seorang yang sangat baik, manja dan ceria. Malah boleh dikatakan dia punya manja tu, saya rasa dia lagi manja daripada saya.
Sekadar info, Kaka mulai aktif dalam dunia hiburan sejak tahun 2012. Meskipun mempunyai pertalian darah dengan ratu rock negara Ella, Kaka berkata dia enggan menumpang populariti penyanyi itu sebaliknya ingin membina nama dengan hasil usahanya sendiri.
Kaka yang memperjuangkan genre muzik Pop dan R&B ini mula dikenali setelah membawa lagu berjudul Bawaku Pergi ciptaan Malique yang menyaksikan dia tampil berduet dengan pelawak Zizan Razak.
Jangan lupa ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.