Tular di media sosial TikTok hari ini apabila sebuah video memaparkan seorang wanita telah hadir ke majlis perkahwinan bekas kekasihnya itu atas jemputan.
Video itu kemudian menjadi bahan bualan netizen apabila wanita yang dikenali sebagai Zira Hazmi itu dilihat naik ke atas pelamin dan bersalaman dan membiarkan tangannya dicium pengantin lelaki.
Meskipun ada yang mengecam, Zira yang ditemui mStar Online memaklumkan bahawa kedua-dua pasangan pengantin menjemputnya hadir ke majlis berkenaan.
Saya dapat kad jemputan daripada dia (bekas kekasih). Masa baca kad itu saya rasa tenang, gembira dan reda. Waktu tu saya cuma fikir orang yang saya sayang sebelum ni dah jumpa kebahagian dia.
Cerita Zira, ketika masih menjadi pasangan kekasih dengan pengantin lelaki tersebut, mereka berdua sememangnya tidak serasi dan asyik bergaduh kerana salah faham sebelum keduanya memutuskan untuk mengakhiri hubungan dengan cara yang baik dan matang.
Jelasnya, setelah berpisah, mereka berdua tidak berhubung selama setahun sebelum berkomunikasi semula atas urusan kerja.
Mengulas mengenai insiden pengantin lelaki mencium tangannya ketika di atas pelamin, Zira berkata perkara tersebut tidak patut dijadikan isu kerana kedua-duanya telah mempunyai kehidupan masing-maisng.
Isteri dia memang kenal saya. Dia tahu cerita mengenai kami sebelum ni jadi tak ada masalah pun. Masalah cemburu tu dah tak ada antara kami sebab kami memang sudah jadi kawan.
Walaupun sudah lama berpisah, Zira masih ‘single’ sehingga ke hari ini.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.