Nama seorang remaja perempuan dikenali sebagai Yasmin kini menjadi sebutan hangat di media sosial selepas didakwa tampil membongkar cerita sebenar di sebalik kematian tragis Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai netizen mengucapkan “tahniah” dan sokongan moral kepada Yasmin kerana berani bersuara dan menjadi saksi penting dalam kes yang telah mencetuskan pelbagai persoalan serta emosi dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Tahniah Yasmin, langkah berani ini bukan mudah. Suaramu boleh membuka kebenaran, menyelamatkan nyawa lain dan memberi keadilan kepada Allahyarham,” tulis seorang pengguna bernama M Jay.
“Yang ada dekat dengan Yasmin, tolong lindungi dia. Sekiranya benar, dia satu-satunya saksi yang boleh bagi keterangan apa sebenarnya berlaku,” komen seorang lagi pengguna, Calvin.
Pendedahan Belum Disahkan Pihak Berkuasa
Difahamkan, Yasmin didakwa telah mendedahkan punca sebenar kematian rakannya itu. Namun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkenaan maklumat yang dikongsi Yasmin.
Sebelum ini, orang ramai turut menyeru agar Yasmin tampil ke hadapan sebagai saksi, terutama selepas tular satu rakaman perbualan antara Zara dan ibunya, Noraidah Lamat, yang mengundang pelbagai reaksi dan kebimbangan.
Kematian Tragis & Desakan Lakukan Bedah Siasat
Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah sekitar pukul 3 pagi. Mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, namun tidak dapat diselamatkan.
Ibu mangsa dalam kenyataannya mendesak agar kubur anaknya digali semula untuk menjalankan bedah siasat kedua, bagi menentukan punca sebenar kematian dan menuntut keadilan buat anaknya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.