Pelakon dan pelawak, Ebby Yus mencari seorang jururawat yang pernah merawatnya setelah pengsan akibat serangan jantung sewaktu dalam penerbangan untuk menunaikan ibadah umrah pada Oktober lalu.
Ebby atau nama lengkapnya, Muhammad Yunus Abdul Rashid memuat naik satu hantaran di laman Instagram miliknya yang meminta jururawat tersebut supaya menghubunginya menerusi Instagram jika terbaca pesanan tersebut.
Perkongsian pelakon Uncle Usin itu turut mendapat perhatian pengikutnya dalam Instagram apabila rata-rata mendoakan supaya usahanya untuk menjejaki jururawat tersebut dipermudahkan.
Saya ingin mencari jururawat yang pernah membantu saya ketika saya sakit di dalam penerbangan sewaktu perjalanan menunaikan ibadah umrah.
Menurut Ebby, 56, jururawat dari Malaysia sedang bekerja di Riyadh, Arab Saudi itu telah memberikan rawatan awal kepadanya sekaligus telah menyelamatkan nyawanya.
Terdahulu, Ebby telah mengalami serangan jantung akibat terkejut apabila pesawat yang dinaikinya bergegar ketika dalam penerbangan ke Mekah.
Disebabkan masalah kesihatan itu, dia terpaksa ditahan di sebuah hospital di Maldives hingga terlepas peluang untuk menyertai jadual rombongan umrahnya seperti yang dijadualkan.