Baru-baru ini, tular di TikTok perkongsian seorang lelaki menceritakan tentang adik perempuannya ditipu pihak katerer yang tidak hadir ke majlis perkahwinannya.
Susulan itu, keluarga pihak perempuan terpaksa memasak sendiri dan menyediakan juadah dalam skala besar untuk para tetamu yang hadir.
Isu itu meraih perhatian ramai warganet apatah lagi isu pengantin ditipu katerer kerap kali berlaku dan ia merupakan kerugian besar buat mereka yang dianiaya itu.
Selepas laporan dibuat dan hasil siasatan awal mendapati mangsa iaitu pengantin perempuan berusia 26 tahun itu tidak pernah berjumpa dengan pihak katerer tersebur.
Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa langsung tidak pernah bersemuka dan hanyalah berurusan dalam talian pada 3 April yang lalu.
Mangsa kemudian terus membuat pembayaran pertama sebagai deposit secara dalam talian kepada seorang perancang perkahwinan dari Shah Alam berjumlah RM2,780.
Mangsa kemudian membuat pembayaran kedua pada 17 Jun sebanyak RM5,554 dan kemudian bayaran kali kali ketiga berjumlah RM4,954 pada 30 Ogos lalu. Secara keseluruhan, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM13,200 secara dalam talian dan pembayaran dibuat atas nama syarikat.
Bayaran tersebut adalah untuk majlis kenduri yang diadakan pada Ahad yang lalu (24 Disember) namun katerer tidak hadir dan mangsa membuat laporan mendakwa tidak menerima pakej yang dijanjikan.
Siasatan turut mendapat mangsa terpedaya selepas terjumpa pakej perkahwinan di laman sosial Facebook selepas hanya berurusan secara dalam talian sahaja.
Polis sedang mendapatkan maklumat tentang syarikat katering itu dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan mengesan nombor akaun bank yang digunakan selain mendapatkan maklumat pemilik akaun melalui Commercial Crime Intelligence System (CCIS).