Bekas isteri kepada penyanyi Ejai, Suraya Zainal tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa dirinya menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang tujuh bulan bergelar isteri kepada vokalis kumpulan Azarra Band itu.
Menurut Suraya, 41, dia bukan sahaja mengalami penderaan mental, malah turut mendakwa disakiti secara fizikal setiap kali berlaku perselisihan faham dalam rumah tangga mereka.
“Selama tujuh bulan kahwin, dia dera mental dan fizikal saya. Saya hidup dalam ketakutan, takut diceraikan. Saya tak boleh tegur, kecil hati atau bersuara sebab akan jadi pergaduhan,” katanya.
Suraya mendakwa setiap kali berlaku konflik, bekas suaminya sering mengugut dengan lafaz cerai selain memaki hamun, menghina dan memukulnya.

Tambah Suraya, dia turut didakwa sering direndahkan maruah dengan panggilan menghina serta dibandingkan dengan status artis bekas suaminya.
“Dia panggil saya janda bodoh, tiada pelajaran dan cakap dia boleh dapat lebih baik daripada saya. Dia bangga dengan status artis, sedangkan saya dianggap tidak bernilai,” luahnya.
Berdasarkan laporan polis yang pernah dibuat, Suraya mendakwa bekas suaminya bertindak mencekik leher, menendang dada dan muka, memijak wajah serta membantingnya ke lantai. Namun, dia mengakui kesilapannya kerana tidak mendapatkan rawatan perubatan segera bagi menyokong aduan tersebut.
Selain itu, Suraya turut mendakwa bekas suaminya sering meninggalkan rumah selama beberapa hari dan menjalinkan hubungan dengan wanita lain setiap kali berlaku pertengkaran.
“Setiap kali gaduh, dia keluar berhari-hari dan curang. Bila buka telefon, TikTok penuh dengan perempuan separuh bogel. Bila saya tanya, dia kata itu kerja,” dakwanya.
Menjawab punca pendedahan dibuat, Suraya mendakwa ia berlaku selepas bekas suaminya mengugut untuk menularkan perkara tersebut susulan keengganan membayar bil telefon tertunggak.
Difahamkan, Suraya merupakan bekas isteri keenam Ejai dan pasangan itu berpisah pada 11 Ogos tahun lalu. Suraya turut mendakwa dirinya bukan mangsa tunggal, sebaliknya mendakwa bekas isteri-isteri terdahulu penyanyi itu turut melalui pengalaman serupa.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
