Jangan menilai dari luaran, itulah yang boleh digambarkan dalam keadaan yang dilalui oleh seorang wanita apabila dia menjadi mangsa gangguan seksual oleh seorang pensyarah.
Perkara itu dikatakan berlaku semasa dia menjalani pengajian diploma di salah sebuah institusi pengajian yang tidak dinyatakan nama dan lokasinya.
Menurut laporan mStar, Nor Batrisyia Izzatie, 22, memberitahu kejadian itu berlaku semasa mangsa berada di semester empat.
Batrisyia juga menyatakan bahawa pensyarah yang juga mengajar subjek agama itu pernah menyentuhnya secara fizikal dan selalu menghantar mesej setiap masa serta membahasakan dirinya sebagai abang.
Selain itu, Batrisyia juga berkata dia dipanggil dengan panggilan ‘sayang’ beberapa kali dan ustaz yang ‘menggatal’ dengannya itu sebenarnya telah mendirikan rumah tangga.
Tambahan lagi, ustaz itu juga dikatakan pernah bertanyakan soalan lucah kepada Batrisyia dan menggagalkan Batrisyia selepas cubaannya ‘menggatal’ tidak dilayan.
Selepas salah satu video yang dibuat oleh Batrisyia berkenaan kejadian yang dilaluinya dimuat naik di TikTok, ramai sebenarnya wanita yang telah menjadi ‘mangsa’ gangguan seksual kepada ustaz berkenaan.
Batrisyia juga memberitahu bahawa dia tidak pernah membawa kes tersebut kepada pihak polis dan berasa takut dan sedih selepas aduan yang dilaporkan kepada pihak universiti seperti tidak dilayan.
Tinjauan ke ruangan komen TikTok Batrisyia juga menunjukkan ada sesetengah individu yang menyatakan pengalamannya diganggu oleh ustaz tersebut dan ada juga yang berharap agar tindakan yang sepatutnya diambil oleh pihak yang berkenaan.