Penyanyi yang meningkat naik selepas lagunya ‘Bukan Lagi Kita’ mendapat sambutan hebat, Nadeera mengimbau pengalaman ketika dia pertama kali menyertai pertandingan nyanyian iaitu Vokal Bukan Sekadar Rupa pada tahun 2012.
Meskipun sudah lebih sedekad berlalu, namun kata Nadeera pengalaman itu masih segar dalam ingatan terutamanya detik insiden dirinya dimarahi tenaga pengajar yang juga merupakan salah seorang juri, Mas Idayu.
Mas Idayu ambil buku lirik saya kemudian dia campak, Mas Idayu kata tiada ‘improvise’. Dia suruh saya keluar dari bilik dan cari ‘improvise’ sendiri, dia cakap ‘kau keluar sekarang’.
Menerusi podcast Kita-Kita Aje! yang dikendalikan hos terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi, Nadeera berkongsi bahawa pada ketika itu gaya nyanyiannya selalu terikut-ikut dengan penyanyi asal.
Akui Nadeera dia terkedu ketika dimarahi oleh Mas Idayu dan terpaksa meminta bantuan daripada peserta lain yang dianggapnya seperti abang dan kakak.
Ketika dimarah saya tergamam dan tak tahu nak buat apa. Jadi saya minta tolong abang dan kakak yang juga peserta dalam pertandingan itu untuk mengajar saya.
Tambah Nadeera, selepas peserta lain memberikan tunjuk ajar dia berjaya ‘improvise’ cara nyanyian dan tidak lagi sama seperti penyanyi asal.
Sekadar info, Nadeera menyertai pertandingan Bokal Bukan Sekadar Rupa pada tahun 2012 dan langkahnya terhenti di peringkat separuh akhir.