Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli, telah melancarkan satu petisyen online yang memohon campur tangan Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu supaya membuka semula siasatan terhadap dana dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri.
Petisyen tersebut turut mensasarkan satu juta tandatangan rakyat Malaysia dan satu laman Facebook bertajuk “1 Juta Desak Buka Kembali Siasatan Terhadap Najib Razak” turut dibuka bagi tujuan itu.
Rafizi turut berkata inisiatif itu diambil susulan laporan The New York Times pada Jumaat lalu.
Akhbar terbabit memetik Menteri Luar Arab Saudi Adel al-Jubeir yang berkata wang AS$681 juta (RM2.6 billion) bukan sumbangan politik tetapi pelaburan dari seorang warga Saudi.
Rafizi juga turut menyangkal kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang sebelum ini menyatakan bahawa dana tersebut adalah derma.
“Datuk Seri Najib Razak bukan seorang ahli perniagaan atau pakar pelaburan. Beliau tidak mempunyai apa-apa perniagaan.
“Seorang warganegara Arab Saudi tidak akan memberikan wang sebanyak RM2.6 bilion kepada beliau untuk dilaburkan kerana pelaburan bukanlah kepakaran beliau,” kata Rafizi.
“Oleh yang demikian, saya mendesak supaya peguam negara membuka semula dengan serta merta kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Najib, mengambil kira perkembangan terbaru ini.
“Saya juga mengingatkan peguam negara supaya menggunakan sepenuh kuasa di bawah Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (Mutual Legal Assistance) dengan negara yang sedang menyiasat 1MDB dan/atau Najib termasuklah Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.”, kata Rafizi.
Rafizi berkata, beliau yakin rakyat tidak boleh berdiam diri dan membiarkan begitu sahaja perkara itu ditutup apabila peguam negara menutup kes itu.
“Dengan desakan rakyat, saya yakin Najib boleh dihadapkan ke mahkamah,” katanya.