Gempar di media sosial apabila tular video seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan menyanyikan lagu “Aku Bidadari Syurgamu” dendangan asal penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sekitar minggu lalu, perkara itu mula mendapat perhatian penyanyi itu sendiri.
Ia mula menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen kerana nyanyian dan suara pelajar yang bernama Suhaila dari kelas Pendidikan khas itu sangat merdu dan sempurna sehingga ramai pengguna media sosial memuji kebolehan gadis tersebut.
Bagaimanapun, menyedari mengenai bakat gadis itu, Siti atau lebih mesra disapa Tokti tampil memuat naik kembali video tersebut di Instagram miliknya. Bahkan turut menzahirkan rasa kagum dengan persembahan yang didendangkan oleh Suhaila.
“Subhanallah.. inilah kebesaran Allah swt.. Kita semua tidak sempurna tetapi Allah beri kelebihan yang berbeza- beza.. Semoga Allah swt sentiasa lindungi adik ini dan mendapat keberkatan di dunia & akhirat ya .. Aamin ya rabb.”
Difahamkan Suhaila menyanyikan lagu OST drama 7 Hari Mencintaiku 2 itu ketika melakukan persembahan di sekolah sempena Sambutan Awal Muharram.
Seperti sudah dijangka, entri berkenaan bagai tidak lekang dihujani komen-komen murni daripada pengikut Tokti di laman berkenaan. Selain memberi kata-kata semangat buat Suhaila untuk terus berkarya dalam bidang nyanyian, rata-rata peminat Tokti juga dilihat memuji kemerduan suara gadis tersebut.