Dendam Azalea Menjadi Filem Malaysia Pertama Ditayangkan Secara Eksklusif Di Netflix

Trending

Dendam Azalea Menjadi Filem Malaysia Pertama Ditayangkan Secara Eksklusif Di Netflix

Filem Till Death: Azalea’s Wrath atau Dendam Azalea merupakan filem tempatan pertama yang ditayangkan secara eksklusif hanya di Netflix. Filem seram arahan Sein Qudsi ini dibintangi pelakon ternama Khir Rahman, Vanidah Imran, Namron, Zain Hamid, Kodi Rasheed dan Zulaika Zahary.

Filem yang mengisahkan mengenai sepasang suami isteri yang baru kehilangan bayi mereka akibat masalah komplikasi berpindah ke rumah baru untuk memulakan hidup mereka. Tetapi ternyata itu hanyalah permulaan kepada kesengsaraan yang bakal mereka hadapi.

Advertisement

Ini merupakan filem seram kedua arahan Sein Qudsi selepas filem Bangunan pada tahun 2015. Walaupun kedua-dua filem ini bergenre seram namun menurut Sein, dia tidak pernah merancang untuk hanya kekal pada genre itu sebaliknya ini hanya kebetulan.

“Saya lebih cenderung kepada genre filem aksi drama/suspen, namun Dendam Azalea memiliki cerita kukuh di sebaliknya yang mampu dijiwai ramai.”

Filem yang mengangkat tema kekeluargaan ini memfokuskan kepada isu seorang ibu yang kehilangan anaknya selepas bersalin. Seperti yang kita semua tahu, kemurungan selepas bersalin adalah perkara yang sering terjadi dan pada waktu begini sokongan moral daripada orang sekeliling memainkan peranan yang penting. Itulah yang diterapkan di dalam filem ini.

Wanita memandang kanak-kanak lelaki
Menurut Vanidah Imran yang membawakan watak Suraya, kemurungan selepas bersalin adalah disebabkan perubahan hormon wanita dan semua pihak perlu faham mengenai keadaan itu. Ianya bukan bermaksud wanita itu lemah dan sebagainya.

Saya hampir mengalami kemurungan selepas bersalin selepas melahirkan anak yang pertama. Walaupun momen itu hanya sekejap sahaja, saya cuba mengimbau kembali momen itu untuk dibawa kembali untuk watak Suraya.

Mengenai pemilihan pelakon pula, Sein Qudsi selaku pengarah, penulis dan penerbit mengakui semasa proses penulisan beliau terlebih dahulu membayangkan pelakon yang dipilih ini untuk watak yang ditulisnya.

“Semasa saya menulis memang saya bayangkan pelakon-pelakon yang saya pilih. Jadi contohnya bila saya tulis dialog ni, saya bayangkan Namron sedang bercakap.”

Namron pelakon Dendam Azalea
Bagi Namron pula, beliau menerima tawaran ini bukan sahaja kerana watak yang agak mencabar tetapi juga hubungan baik bersama dengan krew yang lain. Sebelum ini, Namron pernah bekerjasama dengan Sein dan juga Khir Rahman untuk karya lain.

Mengenai kerjasama bersama Netflix, Sein berkata beliau amat berbangga kerana filem ini akan dipertontonkan di Netflix buat pertama kalinya bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi 190 buah negara yang lain. 

Filem Till Death: Azalea’s Wrath atau Dendam Azalea bakal ditayangkan secara eksklusif di Netflix pada 9 Ogos 2019. Secara eksklusifnya, filem ini dapat ditonton di seluruh dunia hanya di Netflix.

Ikuti Facebook, Twitter, Instagram, Telegram dan TikTok BeautifulNara untuk dapatkan pelbagai kandungan menarik.

Komen

PERHATIAN: Pihak BeautifulNara tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BeautifulNara juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.

Loading...