Selepas mengumumkan bakal berpindah ke luar negara, ramai yang tertanya-tanya lokasi yang dituju oleh Nourul Wahab Depp sekeluarga.
Bukan seperti yang ditebak ramai iaitu Perancis di mana ia merupakan negara kelahiran suaminya, penyanyi itu mengesahkan bakal berhijrah ke Bali, Indonesia pada pertengahan Julai nanti.
Berkongsi mengenai perkara tersebut menerusi program Punchline DAC, Nourul membuat keputusan itu demi pendidikan dan masa depan anak-anaknya.
“Kami berhasrat untuk masukkan mereka ke sebuah sekolah di sana yang sangat bagus dan berkonsepkan kemahiran.”
Malah suaminya turut menyimpan impian untuk menetap di lokasi percutian popular tersebut kerana pernah tinggal di sana selama 2 tahun sebelum ini.
“Saya tetap akan balik ke sini (Kuala Lumpur) kerana bisnes ada sini termasuk untuk memenuhi undangan persembahan. Bukan jauh pun. InsyaAllah saya masih dan tetap orang yang sama. Terima kasih untuk semua yang mendoakan saya dan keluarga.”
Pun begitu, Nourul menegaskan bahawa dia masih akan aktif dalam industri seni tanah air dan akan berulang-alik antara Bali dan Kuala Lumpur bagi memenuhi jadual undangan.
View this post on Instagram
Nourul turut meluahkan rasa sedih apabila membaca mesej dan komen yang ditinggalkan oleh peminatnya. Penyanyi wanita itu mengatakan bahawa mereka semua tetap di hati dan akan berjumpa semula apabila tiba waktunya.
Untuk pengetahuan semua, Nourul berkahwin dengan Eric Daniel Depp pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella 2. Menerusi perkahwinan sebelum itu bersama komposer Ajai, wanita itu dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ayu Nazirah, 23.