Penyanyi Adibah Noor tampil menjawab soalan peminat setelah dia bersetuju untuk menyertai program nyanyian Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8).
Ia berikutan Adibah pernah mengkritik cara penganjuran GV dan enggan menyertainya meskipun dijemput khas oleh pihak penganjur.
Kata Adibah, ini merupakan kali pertama dia ditawarkan untuk menyertai GV dan keputusannya itu dibuat atas dasar sokongan padu yang diberikan peminat.
Ini adalah kali pertama saya ditawarkan dan setiap tahun GV berlaku, orang ramai yang menyokong meminta supaya saya menyertainya. Please join kata mereka. So kali ini apabila ditawarkan, saya terus setuju demi peminat.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Terlalu Istimewa ini berkata bahawa dia bersedia untuk dihakimi oleh juri-juri di atas pentas GV kelak dan berani menerima apa jua kritikan.
Saya bakal menjadi ‘murid’ yang baik kali ini dan tidak akan masuk ke dalam aura yang orang sedia maklum kerap protes dan asyik nak ‘complaint’. Ikut je lah, saya akan cuba.
Bakal membuka tirai tidak lama sahaja lagi, antara bintang-bintang yang turut menyertai edisi GV kali ini adalah seperti Aweera, Azan Scan, Fazley Yaakob, Shidee dan ramai lagi.
Ia akan bersiaran selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 November 2021.