Jepun dan China kini bersiap sedia untuk membida dalam projek kereta api berkelajuan tinggi menghubungkan Singapura dan Kuala Lumpur, menurut asia.nikkei.com.
Projek RM65 bilion yang mendapat jolokan “game changer”, akan menyaksikan tempoh perjalanan berkurangan kepada 90 minit apabila ia siap pada 2026.
Jepun hilang projek serupa tahun lalu di Indonesia, kepada China yang memenangi projek pembinaan landasan lain di Laos dan Thailand. Jika ia menjadikan tolok dan sistemnya sebagai standard de facto di Asia Tenggara, ia mungkin memaksa Jepun dan negara lain hanya sekadar jadi pemerhati.
Singapura menetapkan satu nada untuk bidaan projek itu ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Malaysia pada Selasa. Putrajaya turut bersetuju proses tender perlu “adil, saksama dan telus”. Ia bermakna jangan beralah kepada kekuatan kewangan China. Rakyat Singapura mahu yang terbaik untuk kereta api itu.
Proses yang adil dan telus mungkin bermakna lebih daripada dua bidaan. Alstom dari Perancis dan Siemens di Jerman mungkin menyertai bidaan itu.
Jepun dan China menyediakan persediaan lebih awal untuk masuk membida projek itu yang pada awalnya dijangka siap pada 2020.
China, yang mengumumkan inisiatif “One Belt, One Road” di bawah President Xi Jinping, melihat landasan Singapura-Kuala Lumpur sebagai segmen penting dalam kereta api lajunya dari Kunming ke Asia Tenggara.
Persediaan Beijing untuk memenangi projek kereta api itu bermula pada Mac apabila syarikat gergasi China Railway Group berjanji untuk melabur AS$2 bilion untuk membangunkan semula kawasan di sekitar stesen utama baharu di Kuala Lumpur.
China juga “menyelamatkan” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila ia membeli beberapa aset daripada syarikat milik negara 1Malaysian Development Berhad (1MDB).
“China ada kelebihan pada masa ini,” kata seorang diplomat kepada laman web itu.
“Tren laju shinkansen menjadi asas untuk menjalankan perniagaan secara berkesan di Jepun,” kata Menteri Pengangkutan Jepun Keiichi Ishii di satu simposium di Singapura pada Jumaat.
Ishii berkata syarikat Jepun mempunyai reputasi untuk menyiapkan projek tepat pada masanya. Mengetuai cabaran dari Jepun ialah satu konsortium yang membentuk East Japan Railway (EJ), Sumitomo Corp, Mitsubishi Corp, Hitachi dan Mitsubishi Heavy Industries.
Hitachi, dibantu dengan bekalan dari UK mahu menonjolkan teknologi shinkansen Jepun. Mitsubishi Heavy akan mengendalikan sistem elektrik dan mekanikal. Sumitomo dan Mitsubishi akan bertanggungjawab dalam bantuan kewangan dan pengurusan.
Pembida Jepun mungkin terpaksa mempertimbangkan faedah berbanding kos. Stesen contohnya, akan berada 20 ke 30 minit dari pusat bandar. Ia kekal dilihat sebagai sama ada kos projek itu dapat menutup kerugian atau tidak.
Putrajaya menjangkakan projek itu akan membuka 28,700 peluang pekerjaan dan melonjak pendapatan negara hingga RM6.2 bilion.