Gadis yang maut akibat dibunuh rakan sendiri, Siti Nur Surya Ismail khabarnya sanggup mengorbankan impian dan cita-citanya menjadi seorang pelukis pelan demi menjaga ibunya yang terlantar sakit akibat kanser otak.
Bapanya, Ismail Muda, memaklumkan, arwah sepatutnya menyambung pengajian dalam bidang lukisan pelan seni bina di Akademi Binaan Negara (ABN) Hulu Terengganu.
“Demi kasih arwah terhadap ibunya, dia sanggup mengorbankan pelajarannya apabila mengambil keputusan tidak menyambung pengajian selepas tamat Tingkatan Lima. Dia bercita-cita menjadi seorang pelukis pelan dan menyambung pengajian dalam bidang lukisan pelan senibina di Akademi Binaan Negara (ABN) Hulu Terengganu Januari lalu,”
Bagaimanapun, hasratnya itu perlu dilupakan m kerana mahu menumpukan perhatian penuh menjaga dan berada di sisi ibu.
Terdahulu, kisah pembunuhan Nur Surya telah mengejutkan orang ramai apabila beliau ditemui tertiarap di ruang tamu rumah dengan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan oleh adiknya ketika pulang dari sekolah.
Susulan kejadian, rakan sekolahnya telah ditahan selepas memberi keterangan di balai polis semalam dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang hari ini untuk permohonan reman.
Untuk rekod, jenazah Siti Nur Surya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Beladau Selat, Kuala Terengganu semalam.
Sumber: BH Online