Memandangkan hari ini merupakan Hari Wanita Sedunia, elok kiranya jika kita dapat menghargai usaha dan kelebihan yang ada pada seorang wanita, betul tak?
Menerusi perkongsian kali ini, wanita yang dikenali sebagai Normaisarah Ibrahim ini, rupanya sudah lama menyimpan cita-cita untuk menjadi anggota Bomba.
Lebih menarik lagi, minat yang mendalam terhadap tugasan berat dan lasak itu telah mendorong Normaisarah meninggalkan kerjayanya sebagai jururawat yang dapat dirasa selama tujuh tahun lamanya. Wow, langkah yang berani kan.
Wanita ini berkata, meskipun kerjaya berkenaan didominasi kaum lelaki, namun beliau mahu membuktikan dirinya setanding dengan mereka sekali gus mampu menggalas tugas sebagai anggota bomba yang sentiasa bersiap sedia menempuh segala cabaran.
“Saya sukakan cabaran dan meminati kerjaya dalam bidang yang memerlukan kita bergerak aktif, oleh sebab itu saya beralih menjadi anggota bomba yang memang telah lama saya idamkan.
“Ditambah pula saya suka berinteraksi dengan masyarakat. Menerusi kerjaya ini, saya boleh menabur bakti kepada mereka menerusi aktiviti khidmat masyarakat, penyelamatan dan sebagainya,” katanya pada Ahad.
Anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan ini berkata, beliau mula berkhidmat sebagai anggota bomba pada 2017 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dan antara tugas pertamanya ialah memadam kebakaran dan tugasan khidmat khas seperti menyelamat mangsa kemalangan.
Sejak tiga tahun lepas, beliau ditugaskan di unit khas medik Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang memberi perawatan awal kepada mangsa terlibat dalam kemalangan. Wah, related juga tu dengan kerjaya lama, okay sangat betul tak?
Untuk pengetahuan semua, wanita berkebolehan ini rupanya berkelulusan Diploma Kejururawatan dari Masterskill University College of Health Sciences, Kuala Lumpur pada 2011 tau!
Ibarat dua dalam satu, wanita ini turut berkata bahawa pengalamannya sebagai jururawat juga turut diaplikasikan ketika bertugas di unit EMRS dengan lebih baik.
“Dua hari lepas, saya terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa kemalangan membabitkan dua kenderaan, dua maut dan tiga lagi cedera akibat tersepit”
Melalui pengalaman, saya dapat menilai tahap kesedaran mangsa kemalangan dengan cepat serta memberi rawatan awal kepada mereka yang cedera sebelum dihantar ke hospital,” katanya.
Bercerita lanjut, Normaisarah berkata, antara tugasan yang paling mencabar ialah sewaktu melakukan penugasan kecemasan harian yang prosedurnya dilaksanakan dengan lebih ketat susulan negara dilanda pandemik Covid-19.
Jelasnya, setiap anggota perlu mematuhi prosedur operasi (SOP) ditetapkan iaitu memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) walaupun berdepan dengan kes kecemasan biasa.
“Apabila menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kemalangan jalan raya atau kebakaran, kami perlu memakai PPE dalam keadaan cuaca panas ditambah perlu memegang hos seberat 16 kilogram untuk memadam kebakaran,” katanya yang telah terlibat lebih 30 kes operasi memadam kebakaran dan khidmat khas.