Gara-gara kes viral beliau mendakwa jururawat di hospital bersikap biadap dan tidak mengendahkan permintaannya untuk menukar cadar katil ibunya, penyanyi Linda Rafar bakal disaman oleh badan bukan kerajaan (NGO) Delegation of Nurses (DON).
Pihak mereka kini sedang mengumpul dana untuk proses mengambil tindakan undang-undang terhadap Linda demi menegakkan keadilan bagi jururawat.
Dalam pada itu, Linda berkata kenyataan beliau sebelum ini dimanipulasi sehingga menimbulkan salah faham.
Sekarang saya seorang dihina dan dikutuk oleh persatuan jururawat seluruh Malaysia. Saya tidak menyatakan semua jururawat. Mereka memanipulasikan kenyataan saya. Ramai lagi rakyat yang teraniaya. Mereka tiada peluang untuk bersuara. Allah Maha Adil. Jika bukan di dunia, akhirat menanti kebenaran.
Terdahulu, Linda menerusi Insta Stories di Instagramnya meluahkan rasa bengangnya terhadap layanan buruk diberikan sekumpulan jururawat di hospital di Shah Alam yang enggan membantu menukar cadar ibunya yang terkena najis. Status itu menjadi viral dan mendapat pelbagai respon daripada netizen dan juga perhatian pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Difahamkan pihak hospital sudah mengadakan pertemuan dengan Linda pada hari Jumaat lalu untuk cuba menyelesaikan isu berkenaan.