Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menegur segelintir pihak dalam kementerian dan jabatan kerajaan yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dalam penamaan program, premis, kursus, dan kempen rasmi.
Menurut laporan Bernama, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, menekankan bahawa penganjur dan pihak pengurusan yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara rasmi kerajaan yang dihadiri rakyat Malaysia juga perlu mengambil serius teguran tersebut.
Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan kedudukan bahasa Melayu bagi urusan rasmi di jabatan kerajaan, bertepatan dengan peruntukan yang termaktub dalam Perkara 152 (6).
Orang yang tidak mendaulatkan dan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan kerajaan adalah orang yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, penggunaan bahasa Inggeris sering diutamakan dalam paparan umum seperti program Back to School dan KL Car Free Morning, meskipun majoriti peserta yang terlibat adalah rakyat Malaysia.
Hazami turut mempersoalkan tindakan penganjur yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam program hanya kerana kehadiran segelintir peserta asing, walaupun jumlah mereka hanyalah dua atau tiga orang.
Kalau kita pergi ke China, Perancis, Jerman misalnya, mereka akan gunakan bahasa kebangsaan mereka, bahasa ibunda mereka. Kita yang perlu cari penterjemah kalau ingin memahami apa-apa yang mereka cakapkan.
Negara maju lebih menghormati bahasa mereka, sekiranya kita ingin menjadi sebuah negara yang maju, hormatilah bahasa kebangsaan kita sendiri.
Selain itu, kami kongsikan pautan artikel lain yang menarik di bawah.