Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tindakan penguatkuasaan terhadap penjaja belon tanpa lesen di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) semalam, memetik Berita Harian.
DBKL mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh penguat kuasa yang terlibat dan sekiranya perlu, pihaknya akan meneliti penambahbaikan SOP bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan dijalankan tanpa mengira latar belakang kaum, sebaliknya berdasarkan peraturan yang ditetapkan.
Menurut DBKL, seperti kebiasaan, teguran diberikan terlebih dahulu kepada penjaja tanpa lesen sebelum tindakan diambil. Semua penjaja lain mematuhi arahan dan beredar, namun seorang penjaja belon enggan berbuat demikian walaupun telah diberikan dua kali teguran.
Ketika teguran ketiga, penjaja tersebut bertindak agresif dan berlaku sentuhan fizikal apabila dia menolak petugas penguat kuasa.
Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih tegang, anggota penguat kuasa berpakaian preman segera bertindak menenangkan dan memisahkan penjaja tersebut daripada terus mengasari petugas.
DBKL turut memohon kerjasama semua pihak agar menghentikan penyebaran sentimen dan spekulasi negatif yang boleh mengeruhkan keadaan.
Selain itu, DBKL mengingatkan agar peraturan yang ditetapkan dipatuhi bagi memastikan kelancaran penguatkuasaan dan keharmonian bersama.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.