Melalui satu kenyataan rasmi, pengurus Datuk Seri Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak, mengumumkan penyanyi tersohor itu telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan pagi ini.
Berikut ialah kenyataan rasmi dari Rozi:
Dato’ Sri Siti Nurhaliza selamat melahirkan bayi perempuan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, kira-kira jam 8.17 pagi.
Beliau melahirkan bayi seberat 3.55 kilogram itu secara pembedahan.
Siti dan bayi berada dalam keadaan baik dan buat masa ini hanya membenarkan kaum keluarga terdekat saja untuk melawat.
Suami beliau, Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa melahirkan rasa syukur kerana segalanya telah selamat. Apa yang penting bagi beliau adalah proses melahirkan berjalan dengan baik, isteri dan anaknya juga sihat.
Siti dan suami juga ingin mengucapkan terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan.
Pasangan ini memilih hari Isnin untuk kelahiran anak pertama mereka kerana bersamaan dengan hari kelahiran Nabi Muhammad (Rasulullah s.a.w) selain jatuh pada tarikh 1 Rejab.
Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu.
Mengenai wajah dan nama anak, Siti dan Khalid meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya.
Tahniah diucapkan buat Siti, ini sudah pasti merupakan berita paling gembira buat Siti, suami dan para peminatnya. Tak sabar nak tengok wajah bayi diva tersohor ini, bagaimanapun keputusan mereka untuk mengambil masa mengumumkannya harus difahami. – beautifulnara.com