Kemelut rumah tangga penyanyi terkenal, Nora Ariffin, akhirnya menemui titik penyelesaian apabila Mahkamah Rendah Syariah Petaling meluluskan penarikan balik permohonan tuntutan perceraian yang difailkan sejak tahun lalu.
Peguam yang mewakili suami Nora, Rushdi, iaitu Azmi Mohd. Rais, memaklumkan bahawa penarikan balik kes tersebut dibuat berdasarkan syarat tegas yang ditetapkan oleh pihak plaintif.
“Alhamdulillah, pada hari ini plaintif, Datuk Nora telah menarik balik kes ini dan ingin meneruskan perkahwinan dengan defendan.
“Sebelum permohonan penarikan balik dibuat, beliau (Nora) memohon agar penarikan tersebut dibuat bersyarat, iaitu tidak ada sebarang gangguan daripada pihak ketiga.
“Maka Yang Arif Hakim meluluskan permohonan penarikan balik tersebut dan menasihatkan Puan Nora bahawa beliau mempunyai hak untuk memfailkan injunksi tegah ganggu terhadap mana-mana pihak ketiga, serta memfailkan kes gangguan (nuisance) di mahkamah sivil sekiranya perlu,”
Menurut Azmi lagi, pihak defendan, Rushdi, meluahkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan tersebut serta berjanji akan memastikan isu melibatkan pihak luar tidak lagi berulang.
“Bagi pihak defendan pula, beliau sangat bahagia pada hari ini, alhamdulillah dan beliau juga berjanji akan menasihati pihak ketiga tersebut.
“Kes ini ditarik balik tanpa kos, alhamdulillah. Oleh itu, tidak perlu kepada pelantikan hakam panel pada hari ini,” ujarnya.
Terdahulu, pada 21 April tahun lalu, Nora memfailkan permohonan perceraian susulan beberapa konflik yang tercetus selepas tular hantaran Instagram memaparkan video lafaz cerai oleh Rushdi.
Namun, kira-kira sebulan selepas pengumuman tersebut, Nora memaklumkan bahawa mereka telah kembali rujuk dan memilih untuk memperbaiki rumah tangga.
Untuk rekod, Nora mengesahkan telah berkahwin dengan Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul di Universiti Malaya, pada tahun 2021.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.
